KUALA LUMPUR, 30 Jun – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dijangka memuktamadkan status pasangan beregu wanita utama negara, Pearly Tan dan M. Thinaah, sebelum berlangsungnya Kejohanan Terbuka Jepun yang dijadual bermula pada 15 Julai ini.
Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memaklumkan perbincangan bersama pasangan ranking ketiga dunia itu berlangsung dalam suasana positif dan kini hanya berbaki beberapa isu kecil untuk dimuktamadkan.
Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz / Foto RTM
“Kita sudah hampir memuktamadkan. Perbincangan tinggal satu, dua isu sahaja yang saya rasa boleh diselesaikan. Mereka bersetuju supaya semua ini dimuktamadkan sebelum Terbuka Jepun dan kita akan buat pengumuman,” katanya kepada pemberita selepas sesi libat urus bersama pemain di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, hari ini.
Terdahulu, Pearly dan Thinaah dilaporkan masih belum menandatangani kontrak baharu bersama BAM selepas kontrak terdahulu tamat pada Disember lalu, namun mereka tetap menunjukkan prestasi memberangsangkan termasuk muncul juara Terbuka Thailand, Mei lalu.
Mengulas lanjut, Tengku Zafrul tidak menolak kemungkinan isu yang dibincangkan melibatkan permintaan ganjaran lebih tinggi daripada pasangan beregu tersebut.
“Perkara ini biasa dalam mana-mana rundingan kontrak. Apa yang penting, BAM sentiasa menghargai sumbangan pemain, namun pada masa sama perlu meletakkan sasaran prestasi yang sepadan,” jelasnya.