fb fb fb fb fb

Alcaraz 'mandi peluh' tewaskan Fognini

Alcaraz menewaskan pemain veteran Itali, Fabio Fognini dalam lima set mendebarkan pada pusingan pertama Wimbledon./REUTERS

LONDON, 1 Julai - Juara bertahan Wimbledon, Carlos Alcaraz terpaksa bekerja keras sebelum menewaskan pemain veteran Itali, Fabio Fognini, dalam aksi lima set mendebarkan di pusingan pertama kejohanan tenis berprestij itu.

Bintang Sepanyol yang sedang memburu gelaran Wimbledon ketiga berturut-turut itu menang dengan dengan keputusan 7-5, 6-7, 7-5, 2-6, 6-1.

Alcaraz tampil kurang meyakinkan di awal permainan sebelum kembali bangkit memecah dominasi Fognini dengan kombinasi drop shot dan lob untuk menamatkan set pertama 7-5.

Fognini pula menyerlah dalam set kedua, memaksa tiebreak selepas kehilangan servis awal dan berjaya menyamakan kedudukan.

Beraksi dalam cuaca panas, Alcaraz berjaya mengawal permainan untuk memenangi set ketiga.

Bagaimanapun, konsistensinya terganggu apabila Fognini menguasai set keempat, memaksa permainan diheret ke set penentuan.

Di set kelima, Alcaraz mempamerkan kelas tersendiri apabila mendahului 3-0 sebelum menamatkan perlawanan penuh bergaya.

Dengan kemenangan ini, Alcaraz mara ke pusingan kedua dan kekal dalam misi mempertahankan kejuaraan di All England Club.

KHAIRUL AMRI BIN YASIN