fb fb fb fb fb

Fluminense ke suku akhir Piala Dunia Kelab, tumpaskan Inter Milan 2-0

FOTO REUTERS

NORTH CAROLINA, 1 Julai- Fluminense mara ke suku akhir Piala Dunia Kelab selepas mengejutkan naib juara Liga Juara-Juara Eropah, Inter Milan 2-0 dalam aksi yang berlangsung dalam cuaca panas terik, awal pagi tadi.

Wakil Brazil itu bermula garang apabila menjaringkan gol seawal minit ketiga menerusi German Cano yang bijak menyudahkan bola hantaran lintang yang terbias dengan tandukan dari jarak dekat, melepasi celahan kaki penjaga gol Inter, Yann Sommer.

Inter cuba bangkit selepas rehat namun gagal menembusi benteng pertahanan Fluminense yang tersusun rapi.

Peluang terbaik mereka hadir menerusi Stefan de Vrij yang gagal menyudahkan peluang di depan gawang, manakala percubaan Sebastiano Esposito diselamatkan oleh penjaga gol, Fabio, dan rembatan Lautaro Martinez pula hanya menggegar tiang gol.

Harapan Inter untuk bangkit lebur apabila pemain gantian Fluminense, Hercules memastikan kemenangan mutlak dengan gol kedua pada minit ke-93, hasil rembatan kemas dari luar kotak penalti.

Kemenangan itu menyaksikan Fluminense akan berdepan pemenang antara Manchester City dan Al Hilal dalam aksi suku akhir yang dijadualkan Jumaat ini, di Orlando.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE