fb fb fb fb fb

Cuaca bukan halangan buat City, fokus tewaskan Al-Hilal

Pengurus Manchester City, Pep Guardiola / Foto Reuters

ORLANDO, 30 Jun - Pengurus Manchester City, Pep Guardiola menegaskan cuaca hujan tidak akan menjadi penghalang buat pasukannya menjelang aksi penting menentang Al-Hilal dalam perlawanan kelayakan suku akhir Piala Dunia Kelab, awal pagi esok waktu Malaysia.

Hujan yang melanda Orlando pada Ahad tidak mengganggu persiapan skuad The Citizens di Stadium Camping World, lokasi pertemuan mereka dengan wakil Arab Saudi itu.

Walaupun ramalan cuaca menunjukkan kemungkinan hujan berterusan pada hari perlawanan, Guardiola yakin anak buahnya sudah bersedia.

“Kami tidak risau soal cuaca. Fokus kami adalah untuk teruskan momentum dan mencari versi terbaik pasukan seperti yang sering kami lakukan,” kata Guardiola pada sidang media praperlawanan, semalam.

City tampil sebagai satu-satunya pasukan yang memenangi kesemua tiga perlawanan peringkat kumpulan, sekali gus muncul antara pencabar utama untuk menjulang trofi kejohanan kali ini.

Bagaimanapun, mereka dijangka berdepan cabaran sengit daripada Al-Hilal yang menamatkan saingan Kumpulan H di tangga kedua di belakang Real Madrid.

Pasukan kendalian bekas pengurus Inter Milan, Simone Inzaghi itu akan turun tanpa tonggak utama dan kapten mereka, Salem Al-Dawsari yang disahkan terlepas baki kejohanan akibat kecederaan hamstring.

City dijangka menurunkan kesebelasan terbaik bagi memastikan kemaraan ke peringkat lapan terbaik dalam misi mereka memburu kejuaraan sulung Piala Dunia Kelab.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN