fb fb fb fb fb

MFL tangguh umum jadual Liga Malaysia, tunggu undian Shopee Cup, ACL

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 30 Jun – Malaysian Football League (MFL) akan mengumumkan jadual rasmi Liga Malaysia dalam masa terdekat, namun pengumuman itu ditangguhkan sementara bagi mengambil kira faktor undian kejohanan Shopee Cup anjuran Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) dan saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL).

Dua pasukan utama negara, Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Selangor FC, akan mewakili Malaysia dalam kejohanan serantau tersebut, di samping turut bersaing di pentas Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd berkata pihaknya dimaklumkan, sesi undian Shopee Cup hanya akan berlangsung pada 4 Julai ini di Bangkok, Thailand.

“Jadual Liga Malaysia akan dikeluarkan secepat mungkin. Namun begitu, kami menerima maklum balas daripada AFF minggu lalu bahawa undian Shopee Cup akan berlangsung pada 4 Julai.

“Justeru, kami perlu menangguhkan sementara pengumuman jadual bagi memastikan penjadualan yang optimum untuk dua wakil negara, iaitu Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Selangor FC,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Kongres Luar Biasa (EGM) FAM Pertama 2025 di sini, hari ini.

Menurut beliau, langkah itu diambil bagi mengambil kira komitmen antarabangsa kedua-dua pasukan tersebut yang perlu diselaraskan dengan jadual tempatan.

“Selepas undian dilaksanakan, kita akan mengetahui kedudukan kumpulan serta tarikh perlawanan yang melibatkan JDT dan Selangor. Maka hanya selepas itu, kita akan dapat menyusun semula kalendar liga secara menyeluruh.

“Insya-Allah, selepas 4 Julai, kami akan memuktamadkan dan mengumumkan jadual liga dalam masa terdekat,” tambahnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Shazli turut memaklumkan pihak MFL masih menunggu pengesahan rasmi daripada pasukan Imigresen FC mengenai venue rasmi mereka bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim ini.

“Sehingga kini, kita masih belum menerima apa-apa maklum balas rasmi daripada pasukan Imigresen FC. Sebelum ini, mereka menamakan Stadium Darul Aman sebagai venue rasmi untuk aksi liga akan datang.

“Namun, kita juga maklum wujud kenyataan di media sosial, termasuk daripada YAB Menteri Besar yang memaklumkan venue tersebut tidak tersedia untuk pasukan Imigresen.

“Sekretariat sentiasa berhubung dengan pasukan Imigresen dan difahamkan mereka kini berada di peringkat akhir proses penamaan venue. Kita masih menunggu makluman rasmi daripada pihak kelab,” jelasnya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN