fb fb fb fb fb

Wimbledon 2025: Verbeek-Siniakova rangkul kejuaraan beregu campuran

Foto AFP

LONDON, 11 Julai – Gandingan Katerina Siniakova dari Republik Czech dan Sem Verbeek dari Belanda muncul juara beregu campuran Wimbledon 2025 selepas menewaskan pasangan Joe Salisbury (Britain) dan Luisa Stefani (Brazil) 7-6(3), 7-6(3) dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Gelanggang Tengah, All England Club.

Dalam aksi sengit yang menyaksikan kedua-dua set ditentukan menerusi tie-break, pasangan Czech-Belanda itu menampilkan ketenangan luar biasa ketika berdepan tekanan, manakala Stefani dilihat bergelut dengan kecederaan kaki pada set kedua.

Kemenangan itu turut mencatat sejarah buat kedua-dua pemain.

Ia merupakan gelaran Grand Slam pertama Verbeek dalam mana-mana kategori, manakala bagi Siniakova, ia adalah kejuaraan beregu campuran Grand Slam pertama selepas merangkul 10 gelaran beregu wanita sebelum ini.

1107 SKN LNR WIMBLEDON MIX DOUBLE 2Foto AFP

“Ia sangat istimewa dan penuh makna. Kami bermain dengan penuh keseronokan di atas gelanggang dan saya sangat menikmatinya. Pengalaman di sini sungguh luar biasa,” kata Siniakova, 29, yang turut menjuarai Terbuka Australia 2025 dalam acara beregu wanita bersama Taylor Townsend dari Amerika Syarikat.

Verbeek, 31, turut meluahkan penghargaan kepada pasangannya dalam ucapan kemenangan.

“Katerina, terima kasih banyak. Ia satu penghormatan besar dapat bermain di sisi legenda beregu seperti awak, antara yang terbaik sepanjang zaman. Hari ini akan kekal dalam ingatan saya sepanjang hayat,” ujarnya.

Kejayaan itu menutup kempen beregu campuran Wimbledon dengan penuh bergaya buat pasangan yang beraksi bersama buat kali pertama di pentas Grand Slam.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN