fb fb fb fb fb

Tinju: Taylor, Serrano sahkan aksi trilogi di New York

Foto AFP

NEW YORK, 11 Julai -Katie Taylor dan Amanda Serrano masing-masing lulus sesi timbang berat badan menjelang pertarungan trilogi bagi gelaran tidak dipertikaikan kategori super ringan yang bakal berlangsung di Madison Square Garden, pada Jumaat.

Taylor, yang membawa rekod 24 kemenangan (6 KO) dan satu kekalahan, mencatat berat 135.8 paun (61.6 kg), manakala Serrano (47-3-1, 31 KO) mencatat 136 paun (61.7 kg) dalam sesi penimbangan yang diadakan di teater Madison Square Garden.

Pertemuan itu merupakan trilogi antara kedua-dua petinju, selepas Taylor menang dalam dua pertemuan terdahulu – masing-masing menerusi keputusan sebulat suara juri.

Bagaimanapun, keputusan itu mencetuskan kontroversi dan dipertikaikan hebat oleh Serrano serta penyokongnya, khususnya dalam pertemuan kedua pada November lalu.

Dalam perlawanan tersebut, berlaku insiden pertembungan kepala yang menyebabkan Serrano mengalami luka dalam di atas mata kanan.

Taylor dikenakan pemotongan satu mata oleh pengadil, namun tetap menang dengan keputusan tipis 95-94 oleh ketiga-tiga juri.

Pertarungan Jumaat ini turut mencatat sejarah tersendiri apabila keseluruhan lapan pertarungan melibatkan petinju wanita, termasuk empat perlawanan kejuaraan bersatu, serta aksi utama antara Serrano dan Taylor dalam kelas welterweight.

Acara tersebut akan disiarkan secara langsung menerusi platform Netflix, dan dianjurkan oleh Most Valuable Promotions – syarikat milik bintang media sosial merangkap petinju profesional, Jake Paul, yang turut menguruskan kerjaya Serrano.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN