LONDON, 3 Jun- West Bromwich Albion mengumumkan pelantikan bekas pemain tengah Tottenham Hotspur dan pengurus penjaga sementara, Ryan Mason sebagai pengurus baharu kelab itu pada Isnin.
Mason, 33 tahun, telah menandatangani kontrak selama tiga tahun di Stadium Hawthorns dengan tugasan utama membawa West Brom kembali ke Liga Perdana Inggeris.
"Ini sebuah kelab besar dengan infrastruktur yang mantap serta peminat yang luar biasa, dan saya teruja dengan apa yang kita boleh capai bersama," kata Mason dalam satu kenyataan.
Musim lalu, West Brom menamatkan saingan Liga Kejuaraan di tangga kesembilan tanpa pengurus selepas pemecatan Tony Mowbray pada April lalu.
Kerjaya Mason sebagai pemain terhenti awal selepas mengalami kecederaan kepala serius. Beliau kemudian kembali ke Spurs sebagai jurulatih pada 2018.
Mason pernah menggalas tugas sebagai pengurus sementara pada tahun 2021 dan 2023 selepas pemecatan Jose Mourinho dan Antonio Conte.
Beliau juga sebahagian daripada pasukan kejurulatihan Ange Postecoglou yang membantu Tottenham memenangi Liga Europa bulan lalu, menamatkan kemarau trofi selama 17 tahun.
"Pemain dan jurulatih yang amat penting dalam skuad Tottenham Hotspur selama beberapa tahun, Ryan layak mendapat penghargaan atas dedikasi dan kerja kerasnya. Kami mengucapkan selamat maju jaya untuk masa depannya," kata pengerusi Spurs, Daniel Levy.-AFP