fb fb fb fb fb

Rasa dihargai, Kasatkina bangga beraksi sebagai warga Australia

Pemain tenis kelahiran Rusia, Daria Kasatkina kini mewakili Australia / REUTERS

PARIS, 3 Jun- Pemain tenis kelahiran Rusia, Daria Kasatkina, melangkah ke era baharu dalam karier Grand Slamnya apabila kini mewakili Australia secara rasmi, selepas proses permohonan taraf penduduk tetapnya diluluskan awal tahun ini.

Kasatkina, kini pemain nombor 17 dunia, sebelum ini beraksi sebagai atlet neutral susulan larangan ke atas atlet Rusia dan Belarus untuk bertanding bawah bendera negara masing-masing selepas pencerobohan Rusia ke atas Ukraine pada 2022.

Pemain berusia 28 tahun itu, yang tidak kembali ke Rusia selepas secara terbuka menyatakan pendirian menentang perang, mengakui dirinya kini lebih diterima oleh peminat, terutama selepas menerima sokongan luar biasa di Terbuka Perancis kali ini, meskipun tewas 3-6, 5-7 kepada remaja sensasi Rusia, Mirra Andreeva dalam pusingan keempat pada Isnin.

"Jujurnya, ini satu keputusan yang baik, tapi lebih penting lagi, saya rasa sangat seronok dapat turun ke gelanggang sebagai pemain Australia," kata Kasatkina kepada media selepas perlawanan.

"Saya dengar banyak sorakan, orang menjerit 'Aussie'... saya tak pasti semua tu memang rakyat Australia, tapi saya memang rasa disokong."

"Di media sosial pun ramai rakyat Australia tunjukkan sokongan. Mereka sambut saya dengan gembira, ucap tahniah, dan itu satu bentuk sokongan yang saya tak pernah rasa sebelum ini."

Kasatkina akui kekalahan di tangan Andreeva menamatkan harapannya untuk menjadi wanita Australia pertama mara ke suku akhir Roland Garros sejak Ash Barty muncul juara pada 2019. Namun, beliau tetap berpuas hati dengan permulaan baharunya sebagai 'Aussie'.

“Keputusan boleh jadi lebih baik, tapi bagi saya, ini permulaan yang baik,” katanya sambil tersenyum.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE