KUALA LUMPUR, 3 Jun- Persiapan kejohanan berprestij Piala Sultan Selangor (TSSC) 2025 di Stadium Merdeka hampir mencapai 70 peratus.
Pengerusi dan Pengurus Pasukan Piala Sultan Selangor, Tan Sri Abd Karim Munisar berkata, beliau yakin edisi ke -21 pada 27 September depan bakal menjadi antara yang paling meriah serta penuh dengan kejutan.
"Kita setakat ini telah membuat persiapan yang agak rapi. kita telah hampir 60 ataupun 70 peratus bersedia. Cuma kita sekarang akan mengadakan satu kempen mungkin mulai akhir bulan ini ataupun awal Julai untuk menguar-uarkan mengenai Piala Sultan Selangor.
"Tahun ini juga kita ada beberapa kejutan yang akan diadakan untuk memikat seluruh penonton yang akan membanjiri Stadium Merdeka," katanya.
Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Teknikal TSSC dan Tinjauan ke Stadium Merdeka di ibu negara.
Dalam perkembangan berkaitan beliau turut memaklumkan bahawa pihak Prasarana akan melanjutkan waktu operasi sistem transit aliran ringan (LRT), transit aliran massa (MRT) dan monorel hingga pukul 12.30 tengah malam pada hari perlawanan.
Tiket perlawanan akan mula dijual hujung bulan ini atau awal bulan Julai pada harga bermula RM15 hingga RM 40 bagi tempat duduk berbumbung.