JOHOR BAHRU, 3 Jun- Kelab bola sepak Brunei, Duli Pengiran Muda Mahkota (DPMM) FC, menyasarkan untuk menempatkan diri dalam kumpulan enam terbaik Liga Super musim 2025 hingga 2028.
Selepas 17 tahun meninggalkan saingan liga Malaysia, DPMM FC kembali menyertai kancah bola sepak tanah air.
Pengurus Besar DPMM FC, Md Ali Momin, umumkan mereka bakal membawa masuk tujuh pemain import untuk memperkuatkan skuad.
"Alhamdulillah kerana kesepakatan dalam Liga Bolasepak Malaysia (MFL) pemain Malaysia boleh bermain di Brunei. Jadi pemain tempatan itu adalah plan yang baik untuk bagi kelab bagi mengisi posisi-posisi kosong yang amat kita perlukan.
"Pihak pengurusan belum lagi memutuskan pemain-pemain import, yang kita ada enam pemain mungkin selepas ini pihak pengurusan akan berbincang semula pemain-pemain import dan perancangan dua atau tiga sahaja akan terlibat," katanya kepada pemberita di sini.
Sementara itu, Pemangku Ketua Eksekutif MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd, menyifatkan penyertaan DPMM FC sebagai nilai tambah kepada liga tempatan.
Penyertaan DPMM FC menjadikan saingan lebih kompetitif, khususnya dari sudut komersial dan melibatkan kerjasama dua negara.
Pada musim depan Liga Super akan menyaksikan 14 pasukan berentap, termasuk DPMM FC yang kembali dengan misi baharu.
Perkara itu diumumkan dalam Majlis Menandatangani Perjanjian Penyertaan Kelab Bola Sepak DPMM (DPMM FC) ke Liga Malaysia 2025-2028 di Johor Bahru.