fb fb fb fb fb

Piala Dunia 2026: Impian Qatar masih menyala

Foto REUTERS

DOHA, 3 Jun-Qatar akan berjuang habis-habisan pada dua perlawanan iaitu menentang Iran dan Uzbekistan minggu ini bagi memastikan impian mereka terus hidup, kata ketua jurulatih baharu, Julen Lopetegui.

Qatar, yang menjadi tuan rumah Piala Dunia 2022 tetapi belum pernah layak melalui pusingan kelayakan sebelum ini, tidak boleh menamatkan saingan di dua tempat teratas Kumpulan A untuk layak secara automatik pada tahun 2027.

Namun begitu, mereka masih berpeluang untuk merebut tempat ke pusingan play-off bagi pasukan yang menamatkan saingan di tempat ketiga dan keempat.

Ketika ini, Qatar berada di tempat keempat dengan 10 mata, empat mata di hadapan Kyrgyzstan.

Bekas jurulatih Sepanyol dan Real Madrid, Lopetegui akan memimpin Qatar buat kali pertama apabila mereka menentang pendahulu kumpulan, Iran, di Doha pada Khamis ini sebelum menamatkan pusingan ketiga dengan perlawanan menentang Uzbekistan yang berada di tempat kedua pada 10 Jun.

"Qatar tidak pernah layak ke Piala Dunia melalui kelayakan sebelum ini, dan ia adalah impian yang kami bertekad untuk perjuangkan," kata Lopetegui kepada laman sesawang FIFA dalam satu wawancara yang disiarkan pada Selasa.

"Ia sudah hampir. Kami masih ada dua perlawanan lagi, kedua-duanya amat sukar dan dalam tempoh yang singkat.

"Namun, walaupun berdepan pelbagai kesukaran, kami berazam untuk memberikan segalanya demi meraih satu lagi peluang untuk layak pada bulan Oktober."

Qatar telah mencatatkan kejayaan besar di peringkat benua dalam beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk memenangi gelaran Piala Asia dua kali berturut-turut.

Namun, Lopetegui berkata skuad negara kini berada dalam fasa peralihan dan masih mencari rentak.

"Tiada siapa yang menafikan bahawa generasi ini telah mencapai kejayaan hebat di Piala Asia," tambah jurulatih dari Sepanyol itu yang dilantik pada Mei lalu.

"Namun, setiap generasi pasti berakhir, dan kini kita perlu mulakan semula proses itu, yang bukan sesuatu yang mudah.

"Dalam masa yang sama, kami akan cuba bersaing sebaik mungkin, kerana itu yang paling penting dalam jangka masa pendek", katanya-REUTERS.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD