fb fb fb fb fb

Terbuka Perancis: Djokovic ke suku akhir

Bintang tenis Serbia, Novak Djokovic mara ke suku akhir terbuka Perancis / Foto REUTERS

PARIS, 3 Jun – Juara tiga kali, Novak Djokovic, mara ke suku akhir Terbuka Perancis dengan kemenangan bergaya ke atas pemain Britain, Cameron Norrie, 6-2, 6-3, 6-2, sekali gus mencatat kemenangan ke-100 di Roland Garros pada Isnin

Kejayaan berkenaan membolehkan bintang tenis Serbia itu sebaris dengan bintang Sepanyol, Rafael Nadal dalam kelompok elit sukan itu.

Aksi mantap bintang Serbia itu menjadikannya hanya lelaki kedua yang meraih 100 kemenangan di Grand Slam Paris selepas Nadal (112), sambil terus mengejar rekod kejuaraan Grand Slam ke-25 di venue yang sama tempat dia meraih emas Olimpik tahun lalu.

“Ia satu angka yang baik dan indah, tetapi kemenangan ke-101 pasti lebih manis,” kata Djokovic kepada penonton dalam bahasa Perancis.

“Kejohanan ini belum tamat untuk saya dan saya rasa sangat baik berada di sini untuk mencipta sejarah. Saya harap akan ada satu lagi kemenangan dalam dua hari lagi.”

Dengan mara ke suku akhir buat kali ke-16 berturut-turut, Djokovic turut menjadi pemain lelaki tertua ke suku akhir Roland Garros sejak Istvan Gulyas pada tahun 1971 ketika berusia 39 tahun.

Djokovic tiba di Paris selepas meraih trofi ke-100 di peringkat Jelajah ATP dalam musim yang agak hambar, namun belum tewas satu set pun sepanjang kejohanan kali ini dan memberi isyarat jelas kepada pencabar muda bahawa dia masih dahagakan kejayaan dan sejarah.

Dia bertukar break awal dengan Norrie dalam set pertama tetapi selepas itu menguasai permainan sepenuhnya, sebelum menepis satu lagi gangguan servis dalam set kedua yang mencabar untuk menggandakan kelebihan di gelanggang Philippe Chatrier.

“Saya rasa baik dan ada banyak jangkaan terhadap permainan saya,” kata Djokovic yang mencatat kemenangan ke-6 berturut-turut ke atas Norrie selepas turut menewaskannya dalam perjalanan ke gelaran di Geneva.

“Setiap hari saya bermain lebih baik… 12 set dimainkan dan 12 set dimenangi. Semuanya positif dan stabil ketika ini.”

Djokovic melakukan break ke atas Norrie dalam game ketiga set ketiga selepas kesilapan tidak dipaksa oleh lawannya, dan bekas pemain nombor satu dunia itu tidak menoleh ke belakang lagi untuk mengesahkan pertemuan suku akhir dengan pilihan ketiga dari Jerman, Alexander Zverev.

Pertemuan terakhir mereka adalah di separuh akhir Terbuka Australia pada Januari lalu, menyaksikan Djokovic terpaksa menarik diri akibat kecederaan.-REUTERS.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD