KUALA LUMPUR, 3 Jun – Skuad hoki lelaki kebangsaan kini memberi tumpuan terhadap dua aspek penting yang perlu diperbaiki menjelang Kejohanan Piala Negara-Negara Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) yang akan bermula pada 15 Jun ini.
Ketua jurulatih negara, Sarjit Singh memaklumkan, antara aspek yang perlu diperbaiki adalah penyudah menerusi pukulan sudut penalti serta pertahanan pasukan ketika di asak pihak lawan.
"Saya rasa dalam perlawanan terakhir di Australia dan Korea, jaringan utama pasukan adalah menerusi gol padang. Kami berjaya mencipta banyak peluang, terutamanya di bahagian serangan, namun kami perlu lebih klinikal dalam penyudah"
"Ada perlawanan yang kami cipta 10 peluang tetapi hanya menjaringkan tiga atau empat gol. Itu sudah memadai tetapi jika kami dapat menjaringkan 50 peratus daripada peluang yang ada, ia pasti akan memberi lebih kelebihan kepada pasukan" katanya kepada media.
Beliau berkata demikian ketika sidang media sempena penganjuran edisi ketiga Piala Negara-Negara FIH yang berlangsung di ibu negara hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, pengurus pasukan, Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak meletakkan sasaran skuad Speedy Tigers layak ke peringkat pusingan separuh akhir kejohanan kali ini.
Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama New Zealand, Jepun dan Pakistan, manakala Kumpulan A dibarisi pasukan Perancis, Afrika Selatan, Korea Selatan dan Wales.
Untuk rekod, Malaysia menamatkan saingan di tempat ketujuh pada edisi terdahulu yang berlangsung di Gniezno, Poland.