SHAH ALAM, 3 Jun -Persatuan Ping Pong Selangor hari ini menyerahkan surat aduan rasmi kepada Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PPS) berhubung dakwaan pengambilalihan kepimpinan persatuan tanpa melalui Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) yang sah.
Menurut Setiausaha Kehormat, Lim Kian Aik, aduan tersebut susulan tujuh emel yang telah dihantar sejak 7 Mei lalu, namun tidak mendapat sebarang maklum balas daripada PPS.
"Aduan yang kami beritahu kepada Pesuruhjaya Sukan (PJS) adalah mengenai AJK yang ambil alih persatuan Ping Pong Selangor itu adalah tidak sah kerana tanpa pengetahuan kami mereka adakan AGM sendiri dan mereka pilih Ahli Jawatankuasa (AJK) dengan sendiri. AJK yang mereka pilih ada yang bukan ahli persatuan" katanya kepada media
Kian Aik turut mendedahkan bahawa satu laporan polis telah dibuat berhubung perkara itu, namun tiada tindakan susulan diterima daripada pihak PJS hingga kini.
Beliau turut mempersoalkan tanggungjawab dan integriti PPS dalam menangani isu tersebut, walaupun bukti dan aduan telah dikemukakan berulang kali.
Tambahnya, perkara berkenaan bukan sahaja mengecewakan malah menjejaskan moral dalam kalangan ahli persatuan.
Persatuan itu turut menegaskan komitmen untuk terus menuntut keadilan, termasuk membawa isu tersebut ke peringkat Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta mempertimbangkan tindakan undang-undang jika perlu.