fb fb fb fb fb

Bruno Fernandes kekal di Manchester United

Bintang Manchester United, Bruno Fernandes / Foto Facebook Bruno Fernandes

LONDON, 3 Jun-Bruno Fernandes dilaporkan menolak tawaran lumayan daripada kelab Saudi, Al Hilal, demi untuk terus beraksi bersama Manchester United di bawah pengurus Ruben Amorim.

Al Hilal dikatakan sanggup menawarkan sehingga £100 juta (RM636 juta), namun belum membuat tawaran rasmi.

Fernandes memilih untuk kekal dan membantu proses kebangkitan United selepas musim paling buruk dalam Liga Perdana Inggeris, apabila mereka menamatkan saingan di tangga ke-15 dan tewas dalam perlawanan akhir Liga Europa kepada Tottenham.

Kapten United itu menjaringkan 19 gol dan 19 bantuan musim ini, menjadikannya antara pemain terbaik pasukan.

"Kalau kelab nak jual sebab faktor kewangan, saya terima. Tapi bola sepak kadang-kadang begitulah," kata Fernandes selepas perlawanan akhir Liga Europa bulan lalu.

Bekas kapten United, Gary Neville, menyifatkan keputusan Fernandes kekal sebagai sesuatu yang positif.

"Mereka ditawarkan jumlah besar untuk pemain berusia 30 tahun, tetapi Fernandes adalah nadi pasukan. Keputusannya untuk terus berjuang banyak menceritakan siapa dirinya."

United kini sedang aktif dalam pasaran perpindahan. Mereka telah menandatangani Matheus Cunha dari Wolves dan sedang dikaitkan dengan Bryan Mbeumo dari Brentford.

Beberapa pemain dijangka meninggalkan kelab termasuk Sancho, Rashford, Antony dan Garnacho.

Fernandes telah menjaringkan 98 gol dalam 290 perlawanan sejak menyertai United dari Sporting Lisbon pada 2020 dengan yuran £47 juta.-AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD