PARIS, 3 Jun-Juara bertahan Iga Swiatek, terus mengukuhkan statusnya sebagai ratu tanah liat apabila mara ke separuh akhir Roland Garros dengan kemenangan straight set ke atas pilihan ke-13, Elina Svitolina.
Pemain Poland itu menang 6-1, 7-5 dalam masa lebih 90 minit sekali gus hanya selangkah untuk menyamai rekod memenangi empat gelaran Terbuka Perancis berturut-turut, yang kali terakhir dicapai pada tahun 1920-an.
Pada perlawanan berkenaan, Swiatek bermula pantas dan mematahkan servis Svitolina seawal set pertama, sebelum menutup set tersebut dengan mudah.
Set kedua lebih sengit, tetapi Swiatek menunjukkan ketenangan dengan mematahkan servis lawan pada kedudukan 5-5 dan menamatkan perlawanan dengan dua ace berturut-turut.
Kekalahan ini menyaksikan Svitolina gagal melepasi suku akhir Roland Garros buat kali kelima sepanjang kariernya, walaupun pernah bergelar pemain nombor tiga dunia.
Di separuh akhir, pilihan kelima itu bakal menentang pemain nombor satu dunia, Aryna Sabalenka, yang sebelum itu menewaskan juara Olimpik, Zheng Qinwen.
"Aryna adalah lawan yang hebat di semua permukaan. Saya akan fokus pada permainan sendiri dan hadapi cabaran ini," kata Swiatek, 24.
Walaupun ini kali pertama mereka bertemu di Roland Garros, Swiatek sebelum ini menewaskan Sabalenka di final Terbuka Madrid dan Itali tahun lalu – kedua-duanya di gelanggang tanah liat.-AFP