KUALA LUMPUR, 3 Jun – Bekas Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim, mengumumkan hasrat untuk kembali merebut jawatan nombor satu badan induk itu bagi penggal 2025 hingga 2029.
Pemilihan dijadual berlangsung pada 15 Jun ini menyaksikan saingan empat penjuru bagi jawatan Presiden. Selain Karim dan penyandang, Datuk Seri Shahidan Kassim, turut bertanding ialah Timbalan Presiden KOM, Datuk Mark William Ling Lee Meng serta Presiden Persatuan Olahraga Amatur Terengganu, Datuk Wan Hisham Wan Salleh.
Karim yang kini menerajui Persatuan Olahraga Amatur Perak berkata, keputusan untuk bertanding semula dibuat selepas melihat kemerosotan prestasi olahraga sejak beliau tidak lagi memegang jawatan tersebut.
“Saya membuat keputusan untuk bertanding kerana mahu membawa perubahan dan membetulkan keadaan. Pada 2019 saya digugurkan, namun prestasi olahraga merosot. Jadi saya kembali untuk memperbaiki keadaan,” katanya ketika ditemui media.
Saingan bagi jawatan Timbalan Presiden juga dijangka sengit, dengan lima calon mengesahkan pencalonan, termasuk Wan Hisham, Datuk R. Annamalai, Sallehuddin Safar dan Mohamat Hasan.
Sementara itu, sembilan calon akan merebut tiga kekosongan bagi jawatan Naib Presiden, termasuk satu kuota khas wanita.
Senarai penuh pencalonan diumumkan dalam satu sidang media di Hotel Majlis Olimpik Malaysia, di sini, hari ini.
Sebanyak 39 undi akan dipertaruhkan dalam pemilihan kali ini, melibatkan 13 ahli gabungan negeri yang masing-masing mempunyai tiga perwakilan.