JAKARTA, 3 Jun-Beregu badminton lelaki negara yang kini menghuni ranking pertama dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani dipaksa mengerah keringat sebelum mara ke pusingan kedua Terbuka Indonesia 2025, hari ini.
Beraksi di Istora Senayan, pasangan profesional negara itu bangkit selepas ketinggalan pada set pertama sebelum menundukkan gandingan Taiwan, Lee Fang Chih-Lee Fang Jen, dalam pertarungan tiga set sengit, 17-21, 21-17, 21-14.
Menanti mereka di pusingan seterusnya, Khamis ini, ialah rakan senegara, Nur Mohd Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong, yang turut mempamerkan aksi bertenaga apabila menewaskan beregu China, Xie Hao Nan-Zeng Wei Han, 21-12, 21-17.
Turut mencuri tumpuan ialah pasangan muda negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun, yang menampilkan persembahan cukup meyakinkan.
Juara Masters Malaysia 2025 itu hanya mengambil masa 21 minit untuk menamatkan saingan dengan kemenangan straight set, 21-6, 21-11, ke atas pasangan Amerika Syarikat, Chen Zhi Yi–Presley Smith.
Wei Chong-Kai Wun bakal membuat pertembungan sesama sendiri menentang pasangan muda, Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King, yang mara secara percuma selepas lawan mereka dari Perancis, Eloi Adam-Leo Rossi, menarik diri.