LOS ANGELES, 4 Jun - Legenda tinju Filipina, Manny Pacquiao, mengesahkan kemunculannya semula dalam arena tinju profesional apabila mengumumkan bahawa beliau kini “kembali” menjelang pertarungan kejuaraan welterweight Majlis Tinju Dunia (WBC) menentang Mario Barrios yang dijadual berlangsung pada 19 Julai di Las Vegas.
Pengumuman itu dibuat oleh Pacquiao, 46, dalam satu sidang media khas pada Selasa, sekali gus mengakhiri teka-teki mengenai masa depannya dalam sukan yang pernah mengangkat namanya ke persada dunia.
Ketika ditanya sama ada pertarungan tersebut hanya penampilan satu kali atau permulaan kepada kemunculan semula yang lebih panjang, Pacquiao menjawab tegas, “Ya, saya kembali.”
“Apa yang saya lakukan sekarang ini, saya sendiri tidak percaya bahawa saya ini Manny Pacquiao dari era 90-an,” katanya. “Bayangkan saya telah melalui pelbagai pertarungan besar dalam hidup saya, namun saya masih di sini. Manny Pacquiao telah kembali.”
Pacquiao merupakan satu-satunya petinju dalam sejarah yang memenangi kejuaraan dunia dalam lapan divisyen berbeza.
Beliau juga mencatatkan rekod sebagai juara dunia welterweight tertua dalam sejarah ketika menjuarai gelaran tersebut pada usia 40 tahun pada tahun 2019, satu rekod yang akan diperbaharui sekiranya beliau berjaya menewaskan Barrios.
Bekas Senator Filipina yang berkhidmat dari 2016 hingga 2022 itu mengumumkan persaraannya daripada sukan tinju pada 2021 bagi memberi tumpuan kepada dunia politik dan turut bertanding dalam pilihan raya presiden Filipina pada 2022.
Sepanjang karier profesionalnya, Pacquiao yang terkenal dengan gaya bertinju tangan kidal mencatatkan 62 kemenangan, lapan kekalahan, dan dua seri dalam 72 pertarungan.
Beliau juga bakal dilantik sebagai ahli Dewan Kemasyhuran Tinju Antarabangsa bagi Kelas 2025.
Mario Barrios, lawan yang bakal dihadapinya, merupakan petinju kacukan Mexico-Amerika yang memiliki rekod 29 kemenangan daripada 32 pertarungan, termasuk 18 kemenangan melalui kalah mati (KO) dan hanya dua kekalahan.
Pertarungan itu dijangka menarik perhatian dunia, bukan sahaja kerana status kejuaraan, tetapi juga kerana ia menandakan kebangkitan semula salah satu ikon terbesar dalam sejarah sukan tinju.-REUTERS