LONDON, 3 Jun- Ketika Tottenham Hotspur masih belum memuktamadkan masa depan ketua jurulatih mereka, Ange Postecoglou, beberapa bekas pemain kelab itu tampil menyuarakan sokongan terhadap pengendali dari Australia tersebut, dan menggesa pihak pengurusan untuk memberi kepercayaan berterusan.
Postecoglou, 59, baru sahaja membawa Spurs menjulang trofi Liga Europa bulan lalu, sekali gus menamatkan kemarau kejuaraan selama 17 tahun.
Namun, pencapaian itu dibayangi prestasi buruk dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila mereka menamatkan musim di tangga ke-17, rekod terburuk kelab dalam hampir setengah abad.
Dalam satu kenyataan bulan lalu, Postecoglou mengakui tidak pasti mengenai kedudukannya dan media Britain pada Isnin melaporkan keputusan berhubung nasibnya dijangka dibuat minggu ini.
Bekas pemain antarabangsa Switzerland, Ramon Vega yang membuat 64 penampilan liga bersama Spurs menyifatkan sebarang keputusan untuk menamatkan kontrak Postecoglou sebagai satu kesilapan besar.
“Saya anggap ia sangat tidak hormat untuk sekadar mempertimbangkan pemecatan Ange Postecoglou,” tulis Vega di media sosial. “Beliau telah mencapai sesuatu yang mustahil, sesuatu yang gagal dicapai oleh jurulatih lain dengan rekod lebih besar.”
Sementara itu, bekas penyerang Ireland dan Spurs, Robbie Keane berkata kejayaan menjuarai Liga Europa mengubat kekecewaan peminat terhadap prestasi liga yang mengecewakan.
“Biarpun prestasi liga sangat mengecewakan, saya rasa ramai penyokong, termasuk dua anak saya yang juga peminat Spurs, tidak begitu ambil peduli akhirnya. Sebab apa? Sebab menang trofi. Akhirnya, itulah yang paling penting,” katanya kepada talkSPORT.
Dalam pada itu, bekas penjaga gol Tottenham dan Amerika Syarikat, Brad Friedel turut menyuarakan sokongan kepada Postecoglou dan berharap pihak kelab akan menyokong pengendali itu pada jendela perpindahan pemain akan datang.
“Saya harap kelab akan mengekalkannya dan beri ruang untuk bina pasukan musim panas ini, sebelum menilai semula prestasi di awal musim depan,” katanya kepada Stats Perform.- REUTERS