MIAMI, 3 Jun- Meski dibarisi kelab-kelab gergasi seperti Real Madrid, Manchester City, Bayern Munich dan PSG, serta ikon global Lionel Messi bersama Inter Miami, Piala Dunia Kelab FIFA edisi baharu yang bakal berlangsung di Amerika Syarikat masih gagal mencetuskan keghairahan seperti diharapkan.
Menerusi format 32 pasukan, kejohanan itu dijadikan sebagai medan "uji kaji mega" oleh FIFA sebelum Piala Dunia 2026.
Namun, di sebalik promosi besar-besaran dan hadiah wang tunai keseluruhan AS$1 bilion, jualan tiket dilaporkan perlahan.
Di laman web rasmi FIFA, ribuan tiket untuk perlawanan akhir di MetLife Stadium, New Jersey (13 Julai) masih belum terjual, walaupun hanya tinggal lebih sebulan sebelum sepak mula.
Malah, perlawanan pembuka tirai antara Inter Miami dan Al Ahly di Miami (15 Jun) turut menunjukkan banyak tempat duduk masih kosong.
Sebahagian pemerhati menyalahkan jadual musim Eropah yang padat, ketidakjelasan kriteria kelayakan, serta persepsi bahawa kejohanan ini lebih berunsurkan komersial berbanding prestij.
Tambahan pula, keputusan FIFA untuk memberikan slot automatik kepada tuan rumah yang dimanfaatkan untuk memastikan Messi menyertai kejohanan turut mencetuskan kritikan.
Masalah padang tiruan, saiz padang yang kecil di kejohanan Copa America sebelum ini, serta kebimbangan pemain terhadap kecederaan dan keletihan turut menimbulkan persoalan sama ada FIFA terlalu gelojoh dalam mengejar keuntungan.
Dengan 12 stadium NFL terlibat dan bajet keseluruhan mencecah AS$7 bilion, kejohanan berkenaan dilihat sebagai referendum kepada masa depan bola sepak kelab global dan ujian sebenar terhadap selera penonton Amerika. -REUTERS