fb fb fb fb fb

Honda rakan automotif rasmi LA28 & Team USA

FOTO REUTERS

LOS ANGELES, 3 Jun- Syarikat automotif Jepun, Honda, diumumkan sebagai rakan automotif rasmi bagi Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28) dan Team USA, dalam perjanjian penajaan domestik terkini untuk temasya sukan terbesar dunia itu.

Honda, yang membuka operasi pertamanya di Los Angeles, Amerika Syarikat pada Jun 1959, akan membekalkan rangkaian kenderaan rasmi bagi kegunaan LA28 dan turut menjadi rakan rasmi Team USA bagi Sukan Olimpik Musim Sejuk 2026 di Milano Cortina, Itali.

Pengerusi LA28, Casey Wasserman, menyifatkan pemilihan Honda sebagai keputusan wajar memandangkan sejarah panjang syarikat itu di rantau Los Angeles.

Dengan termeterainya perjanjian itu, jumlah keseluruhan penajaan domestik LA28 kini melebihi AS$1.5 bilion, menandakan lonjakan positif dalam usaha meraih sasaran keseluruhan AS$2.5 bilion menjelang temasya tersebut.

Sebagai perbandingan, Sukan Olimpik Paris 2024 mencatatkan penajaan domestik melebihi AS$1.2 bilion, manakala Tokyo 2020, yang ditangguh ke 2021 akibat pandemik, mencipta rekod dengan melebihi AS$3 bilion dalam bentuk penajaan domestik.

Tahun ini sahaja, LA28 telah mengumumkan lebih berbelas perjanjian, termasuk melantik Archer Aviation sebagai penyedia teksi udara rasmi dan Snowflake, sebuah syarikat analitik data awan sebagai rakan kolaborasi data rasmi.

Ketua Pegawai Eksekutif U.S. Olympic and Paralympic Properties, John Slusher, menjangkakan sehingga sembilan lagi penajaan akan diumumkan sebelum akhir tahun ini.

Belanjawan keseluruhan LA28 dianggarkan sekitar AS$7 bilion, dibiayai melalui kerjasama dengan IOC, jualan tiket, penajaan domestik, perlesenan, dan hasil komersial lain. Dana ini akan digunakan bagi pelbagai keperluan termasuk penyewaan venue, logistik acara, serta majlis pembukaan dan penutupan.

Walaupun Los Angeles pernah mencatat keuntungan besar semasa Olimpik 1984, beberapa edisi lain seperti Sydney 2000, Athens 2004 dan Rio 2016 mengalami lebihan bajet yang ketara.

Bandar Los Angeles ketika ini berdepan defisit bajet dan beban pemulihan pascakebakaran hutan besar pada Januari lalu, sekali gus menimbulkan kebimbangan tentang kemungkinan dana awam terpaksa digunakan jika berlaku kos lebihan.

Namun, Slusher yang juga bekas Eksekutif Kanan Nike, menegaskan pihaknya komited memastikan senario itu dapat dielakkan.

Sukan Olimpik LA28 dijadual berlangsung dari 14 hingga 30 Julai 2028, manakala Sukan Paralimpik pula dari 15 hingga 27 Ogos 2028.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE