KUALA LUMPUR, 24 Mei - Pasangan beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun, melangkah ke perlawanan akhir Malaysia Masters 2025 selepas menewaskan gandingan Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi, dengan keputusan 21-12, 21-14 dalam masa 31 minit.
Kemenangan ini bukan sahaja memastikan tempat mereka di final tetapi juga merupakan kejayaan pertama mereka ke atas pasangan Jepun itu selepas tiga pertemuan sebelum ini.
Wei Chong-Kai Wun, pilihan kelima kejohanan telah menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang kejohanan ini. Sebelum ini, mereka menewaskan pasangan senegara, Junaidi Arif-Roy King Yap, dengan keputusan 21-15, 21-16 dalam masa 32 minit.
Dengan kemenangan ini, Wei Chong-Kai Wun berpeluang untuk menamatkan penantian gelaran di laman sendiri selepas menjadi naib juara pada edisi 2023.
“Saya rasa itu kekalahan dua itu mungkin sudah dua tiga tahun lepas kita tak fikir kita just fokus match dan training we keep our performance well”, ujar Wei Chong selepas perlawanan.
Mereka akan berdepan pemenang antara satu lagi wakil negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang bertemu wakil Denmark Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen di separuh akhir.