VICENZA, 23 Mei - Pelumba Denmark, Mads Pedersen, menambah koleksi kemenangan keempat dalam Giro d’Italia apabila mengungguli Peringkat 13 sejauh 180 kilometer dari Rovigo ke Vicenza.
Kayuhan bertenaganya berjaya menewaskan pencabar utama, Wout van Aert dari Belgium, dalam kayuhan dramatik di garisan penamat.
Romain Bardet (Perancis) pada satu ketika bersama Mathias Vacek (Republik Czech) melakukan pemisahan daripada kelompok utama, namun usaha mereka gagal bertahan apabila peloton kembali menyatu kurang satu kilometer dari garisan penamat.
Pedersen, yang ketika itu berada di kedudukan keempat, melancarkan pecutan di selekoh mendaki dan berjaya mengatasi Van Aert di garisan penamat. Pelumba muda Mexico, Isaac del Toro, menamatkan perlumbaan di tempat ketiga dan mengekalkan jersi merah jambu selaku pendahulu keseluruhan.
Del Toro kini mendahului rakan sepasukannya dari UAE Team Emirates, Juan Ayuso (Sepanyol) dengan kelebihan 38 saat, manakala pelumba Itali, Antonio Tiberi (Bahrain Victorious), ketinggalan satu minit 18 saat dalam carta keseluruhan pelumba.