KUALA LUMPUR, 22 Mei - Persatuan Badminton Malaysia (BAM) telah mengemukakan aduan rasmi kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) berhubung beberapa keputusan pengadil yang dianggap kontroversi dalam aksi pusingan kedua Malaysia Masters 2025.
Aduan itu merujuk kepada tiga keputusan penting yang didakwa memberi kesan besar kepada keputusan perlawanan antara pasangan beregu muda negara, Kang Khai Xing-Aaron Tai, dan wakil Denmark, Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard, yang berakhir dengan kekalahan Malaysia 21-10, 24-26, 21-16 dalam masa 67 minit.
Menurut BAM, bukti video dan dokumentasi perlawanan telah diserahkan kepada BWF untuk semakan segera.
"BAM komited mempertahankan nilai kesukanan dan profesionalisme, serta menggesa BWF mengambil tindakan pantas dan telus bagi mengelak kejadian sama berulang," menurut kenyataan rasmi badan induk itu.
Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh, turut menegaskan bahawa walaupun BAM menghormati peranan pegawai teknikal, tahap integriti pengadilan perlu dipertingkat. Katanya, keputusan yang dibuat adalah jelas tidak tepat dan telah menafikan peluang adil kepada pemain muda negara.
Jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi, menyifatkan keputusan yang dibuat sebagai tidak adil dan memberi tekanan emosi kepada Khai Xing, 19, dan Aaron, 18, yang sedang membina keyakinan di pentas antarabangsa.
BAM berharap aduan ini diberi perhatian sewajarnya demi menjaga kredibiliti sukan badminton di peringkat global.