ITALI, 24 Mei- Ratusan ribu penyokong Napoli membanjiri bandar Naples pada Jumaat untuk menyaksikan pasukan kesayangan mereka menjulang trofi Serie A buat kali keempat dalam sejarah kelab itu.
Scott McTominay dan Romelu Lukaku masing-masing menjaringkan gol untuk membantu Napoli mencatat kemenangan selesa 2-0 ke atas Cagliari, sekali gus menamatkan musim dengan kejuaraan Scudetto kedua dalam tempoh tiga tahun — hanya satu mata di hadapan Inter Milan.
Bandar Naples bertukar menjadi lautan warna-warni pada sebelah malam untuk meraikan pasukan itu.
Suasana dimeriahkan dengan suar yang menerangi langit, disertai kepulan asap berwarna hijau, putih dan merah — warna bendera Itali — yang bercampur dengan warna biru tradisi pasukan Napoli, mewarnai seluruh jalanan.
Lebih 450,000 penyokong dilaporkan cuba mendapatkan tiket, namun majoritinya hanya dapat menyaksikan detik bersejarah itu dari luar Stadium Diego Armando Maradona atau di Piazza del Plebiscito, diubah menjadi lokasi tumpuan penonton menerusi skrin gergasi di pusat bandar.
Kenderaan dicat biru bergerak perlahan di sepanjang jalan, lengkap dengan lambang bendera Itali serta angka empat — simbolik kepada jumlah kejuaraan Scudetto yang kini dimiliki oleh Napoli.- REUTERS