fb fb fb fb fb

Tottenham Hotspur rai kejuaraan Liga Europa

Pasukan Tottenham Hotspur diraikan di London Utara/ REUTERS

LONDON, 24 Mei- Tottenham Hotspur meraikan kejayaan mereka menjuarai Liga Europa pada Jumaat menerusi satu perarakan bas terbuka di sekitar London Utara.

Puluhan ribu penyokong membanjiri jalan-jalan berhampiran Stadium Tottenham Hotspur bagi memberi sokongan dan sorakan kepada pasukan kesayangan mereka, yang berjaya menamatkan kemarau trofi selama 17 tahun.

Gol tunggal perlawanan menerusi Brennan Johnson sudah memadai untuk memberikan kemenangan 1-0 ke atas Manchester United dalam aksi final yang berlangsung di Bilbao pada Rabu, sekali gus menghadiahkan trofi pertama di pentas Eropah kepada skuad kendalian Ange Postecoglou sejak tahun 1984.

Pengurus Tottenham, Ange Postecoglou berkata, trofi kemenangan itu sesuatu yang bernilai buat pasukannya.

"Seperti yang anda tahu trofi ini memberi makna besar kepada semua ahli pasukan. Melihat penyokong terus memberikan sokongan — itulah sebab utama kami melakukan apa yang kami lakukan.

"Ia sesuatu yang tidak ternilai harganya. Perasaan ini sungguh luar biasa, dan saya sangat bersyukur kerana para pemain berjaya menghadiahkan trofi ini. Inilah sebabnya kami berjuang untuk para penyokong," katanya.

Meskipun melalui musim domestik yang sukar dengan menduduki tangga ke-17 liga serta mencatatkan 21 kekalahan – rekod terburuk dalam era Liga Perdana Inggeris – gol Johnson itu turut memastikan kelayakan Tottenham ke saingan Liga Juara-Juara musim hadapan.- Reuters

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI