PERANCIS, 24 Mei- Pilihan keempat, Elena Rybakina dari Kazakhstan dan pilihan kelapan, Liudmila Samsonova dari Rusia, bakal berentap di pentas akhir kejohanan Internationaux de Strasbourg di Perancis.
Rybakina terpaksa bekerja keras sebelum menundukkan pilihan kesembilan, Beatriz Haddad Maia dari Brazil, dengan keputusan 7-6(7), 1-6, 6-2 dalam tempoh dua jam 46 minit pada aksi separuh akhir yang berlangsung pada Jumaat.
Rybakina meledak lapan ace, menyelamatkan lapan daripada 11 break point, serta bangkit menyekat satu set point dalam penentuan tie-break set pertama.
Sementara itu, Samsonova tidak berdepan banyak masalah apabila menewaskan pemain bukan pilihan dari Amerika Syarikat, Danielle Collins, 6-4, 6-2 dalam masa hanya 87 minit. Beliau mencatatkan empat ace dan menyelamatkan lima daripada tujuh break point.
Samsonova memiliki rekod kemenangan ke atas Rybakina dalam empat daripada lima pertemuan sebelum ini, namun Rybakina memenangi aksi terakhir mereka dalam tiga set pada separuh akhir kejohanan di Abu Dhabi, awal tahun ini.- REUTERS