fb fb fb fb fb

Malaysia Masters 2025: Aaron Chia-Soh Wooi Yik berdepan jaguh Denmark di separuh akhir

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 23 MEI - Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, menempah tempat ke separuh akhir Malaysia Masters 2025 selepas menewaskan pasangan Denmark, Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard, di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Harapan negara menundukkan lawan yang berada di ranking ke-16 dunia dalam masa 36 minit.

Pada set pertama, juara Terbuka Thailand itu tidak menghadapi sebarang masalah apabila mencatatkan kemenangan mudah 21-10.

Bagaimanapun, Aaron-Wooi Yik berdepan tentangan sengit dan ketinggalan 12-16 pada pertengahan aksi set kedua sebelum kembali bangkit dan mara dengan keputusan 21-19.

Gandingan ranking ketiga dunia itu akan menentang pasangan nombor satu dunia, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen dari Denmark, pada perlawanan esok.

Dalam pada itu, Aaron mengakui kurang fokus pada aksi hari ini, terutama pada set pertama.

“Saya rasa tiada banyak yang perlu diulas tentang permainan hari ini. Kami hanya fokus pada konsistensi, terutama di set kedua, di mana kami mula bermain dengan lebih baik dan kekal tenang untuk kembali memenangi perlawanan,” katanya.

Wooi Yik pula optimis mampu menewaskan Astrup-Rasmussen, memandangkan sudah banyak kali bertemu dan memahami kualiti permainan lawan.

“Setiap hari ada cabarannya yang tersendiri. Kami akan buat persiapan rapi dan beri yang terbaik dan sedar lawan esok bukan mudah, tapi selepas beberapa tahun, kami sudah cukup biasa berdepan mereka dan tahu corak permainan masing-masing.

"Apa yang penting adalah bagaimana untuk kawal permainan dan kekal fokus di gelanggang,” katanya.

Daripada 12 pertemuan terdahulu menentang Astrup-Rasmussen, Aaron-Wooi Yik mencatat lapan kemenangan dan empat kekalahan.

Kali terakhir kedua-dua pasangan adalah bertemu semasa perlawanan penentuan pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 yang ketika itu memihak kepada wakil negara.

TUAN MOHAMAD IKRAM BIN TUAN MUHAMAD