LENGGONG, 23 Mei- Pasukan Ducati Petronas Sprinta Lenggong Valley Racing Team mengesahkan penyertaan sulungnya dalam kejohanan sukan permotoran lasak antarabangsa, Rimba Raid 2025.
Kejohanan yang bakal diadakan di Lenggong, Perak itu akan memulakan saingan pada 26 hingga 29 Jun ini.
Menurut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, penyertaan tersebut mencerminkan usaha strategik dalam mengetengahkan bakat muda tempatan ke pentas dunia.
"Kita tidak mahu menjadi tuan rumah sahaja. Kita nak tunjukkan kepada dunia bahawa Malaysia juga mempunyai bakat luar biasa dan berpeluang untuk menempah slot di podium," kata Datuk Seri Saarani kepada pemberita, hari ini.
Terdahulu, beliau merasmikan Majlis Pelancaran Lenggong Valley Motorclub di Dataran Tasik Raban, di sini.
Rimba Raid yang memasuki edisi ke-10 bakal menghimpunkan lebih 250 pelumba dari 17 negara termasuk Jepun, Thailand, Indonesia, Singapura dan China.
Kejohanan itu juga menerima tiga penajaan utama menerusi Ducati Official Club Malaysia, Petronas Sprinta dan Pusat Khidmat Parlimen Lenggong.
Penganjuran sukan tersebut turut dijangka memberi limpahan ekonomi kepada komuniti setempat, khususnya peniaga kecil, pengusaha inap desa, operator bot serta sektor pelancongan desa.