fb fb fb fb fb

Malaysia Masters 2025: Pearly Tan-M Thinaah hadapi gandingan China di separuh akhir

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 23 MEI - Beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah, meneruskan prestasi cemerlang apabila mara ke separuh akhir Malaysia Masters 2025, sekali gus menyamai pencapaian edisi tahun lalu.

Harapan negara itu tidak berdepan masalah menumpaskan gandingan ranking kesembilan dunia dari Indonesia, Febriana Dwipuji Kusuma-Amallia Cahaya Pratiwi dalam masa hanya 34 minit.

Pearly-Thinaah memulakan perlawanan dengan cemerlang apabila mendahului 11-5 sebelum menamatkan set pertama dengan kemenangan menyakinkan 21-14.

Memasuki set kedua, sorakan gemuruh penyokong menjadi pembakar semangat buat beregu negara yang terus mempamerkan aksi bertenaga, sekali gus menamatkan perlawanan juga dengan keputusan sama.

Pasangan negara yang kini berada di ranking keempat dunia dijadual berdepan cabaran sengit di separuh akhir menentang beregu ranking ketujuh dunia dari China, Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian. 

Mengulas mengenai pertembungan esok, Pearly menegaskan bahawa pendekatan mereka tetap sama iaitu menganalisis dan memperbaiki permainan mereka serta tidak mahu terlalu fokus terhadap kekuatan gandingan lawan.

“Seperti biasa, kami akan kekal dengan corak permainan sendiri dan berbincang bersama jurulatih, selain membuat penyesuaian lanjut di atas gelanggang untuk lebih yakin semasa beraksi,” katanya.

Sementara itu, Thinaah berharap mampu mengekalkan rentak permainan cemerlang berdepan Yi Fan-Shu Xian.

“Saya rasa setiap pemain yang berada di sini pastinya tidak mahu tewas. Jadi, kami memilih untuk melupakan kekalahan lalu dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada persiapan perlawanan seterusnya. Kini, fokus kami adalah untuk berehat, berbincang dengan jurulatih serta sesama sendiri bagi memastikan berada dalam keadaan terbaik menjelang aksi esok," menurutnya.

TUAN MOHAMAD IKRAM BIN TUAN MUHAMAD