fb fb fb fb fb

Malaysia Masters 2025: Wei Chong-Kai Wun cipta sensasi mara ke separuh akhir

Foto BERNAMA

BUKIT JALIL , 23 Mei - Beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun mencipta sensasi apabila menyingkirkan pilihan kedua kejohanan, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dalam aksi suku akhir Malaysia Masters 2025 di Axiata Arena, hari ini.

Pertembungan di hadapan ribuan penyokong menyaksikan, Wei Chong-Kai Wun bermula baik dengan mendahului 11-7, namun gagal mengekalkan momentum apabila lawan mencuri set pembukaan dengan kemenangan 21-19.

Tidak goyah, pasangan pilihan kelima itu tampil lebih agresif pada set kedua dan menang mudah 21-7.

Aksi penentuan berlangsung sengit dengan kedua-dua pasangan saling berbalas mata.

Namun Wei Chong-Kai Wun nyata lebih tenang dan kurang melakukan kesilapan mudah untuk mengesahkan kemaraan dengan keputusan 21-16 dalam masa 45 minit.

"Saya rasa hari ini kami bermain agak bagus dan sempat mendahului pada set pertama tapi akhirnya kalah. Bagaimanapun kami kembali menguasai set kedua dan ketiga," katanya selepas tamat perlawanan.

Sementara itu, Tee Kai Wun berkata kawalan emosi yang baik di atas gelanggang menjadi kunci kepada kemenangan mereka hari ini.

“Saya rasa kita tak berputus asa. Selalunya bila sudah mendahului, saya akan fikir kita akan menang. Tapi kali ini saya kosongkan fikiran dan terus lawan,” katanya.

Bagi saingan separuh akhir esok, Wei Chong-Kai Wun dijadualkan berdepan pasangan Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi yang kini berada di ranking ke-20 dunia.

TUAN MOHAMAD IKRAM BIN TUAN MUHAMAD