fb fb fb fb fb

DPMM FC sah rancakkan Liga Super musim 2025/26

KUALA LUMPUR, 23 Mei – Kelab dari Brunei, DPMM FC, sah akan menyertai saingan Liga Super musim 2025-2026 sebagai kelab jemputan selepas mendapat kelulusan rasmi daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dalam kenyataan memaklumkan, penyertaan DPMM FC menandakan kemunculan semula pasukan dari Brunei dalam liga tempatan selepas kali terakhir tampil dalam Liga Super pada musim 2005-2006 dan menamatkan saingan di tangga ketiga.

“Pasukan Brunei bukan asing dalam kancah bola sepak Malaysia. Mereka pernah menjuarai Piala Malaysia 1999 selepas menewaskan Sarawak 2-1 di Stadium Merdeka,” menurut MFL.

Dalam perkembangan sama, sebanyak 13 kelab lain berjaya memperoleh Lesen Kebangsaan daripada Jawatankuasa First Instance Body (FIB), sekali gus layak menyertai Liga Super musim depan yang dijadual bermula Ogos ini.

Antara pasukan yang mendapat lesen termasuk Johor Darul Ta’zim (JDT), Selangor FC, Sabah FC, Terengganu FC, Penang FC, Kuching City FC, Sri Pahang FC, Negeri Sembilan FC, Kuala Lumpur City FC, PDRM FC dan Kelantan Darul Naim FC (dengan lesen bersyarat), serta dua kelab dari Liga A1 – Melaka FC dan Imigresen FC.

Sementara itu, MFL turut mengesahkan pelaksanaan penuh peraturan Kewangan Adil (Financial Fair Play, FFP) bagi musim ini dengan pelaksanaan had gaji atau ‘salary cap’ ditetapkan pada 80 peratus daripada bajet tahunan setiap kelab.

“Kelab tidak dibenarkan membelanjakan lebih 80 peratus bajet tahunan untuk gaji. Langkah ini penting bagi mengawal aliran tunai dan memastikan pembayaran gaji dibuat secara konsisten,” kata kenyataan itu.

Bermula musim 2025–2026 juga, MFL akan menjalankan pemantauan kewangan menerusi dua penyerahan utama iaitu Penyerahan Bajet dan Penyerahan Pra-Musim, serta lima penyerahan berkala sepanjang musim.

Unit FFP akan menyemak dokumen kewangan termasuk penyata interim dan pengesahan tiada tunggakan kepada pemain, kakitangan serta agensi berkaitan.

Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana kelab yang gagal mematuhi peraturan kewangan ditetapkan selaras FFP MFL Edisi 2025-2026.

TUAN MOHAMAD IKRAM BIN TUAN MUHAMAD