KUALA LUMPUR, 23 Mei - Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) meneroka peluang kolaborasi dengan Hungary bagi memajukan industri sukan para negara.
Menurut Presiden MPM, Datuk Seri Megat D. Shahriman, antara kerjasama yang akan dilakukan termasuk mempelajari sistem dan cara berkesan dalam mencari bakat baharu yang berpotensi tinggi.
Katanya, kolaborasi itu juga tertumpu untuk meneroka diplomasi sukan yang diaplikasikan oleh negara-negara Eropah menerusi Hungary, selain pertukaran atlet para negara melalui ‘pelancongan sukan’.
“Alhamdulillah, Duta Hungary datang ke MPM melawat fasiliti. Kita adakan hubungan dua negara dan atlet para kita akan ke negara mereka. Ini adalah langkah pertama bagi tahun 2025".
“Pada pendapat saya, kita akan dapat belajar banyak perkara sebab mereka telah bermula dalam sukan ini sejak tahun 1923,” katanya kepada media pada sesi lawatan Duta Besar Hungary, Dr. Petra Ponevacs-Pana ke MPM di Pusat Kecemerlangan Paralimpik Malaysia, di sini, hari ini.
Tambah beliau, MPM juga tidak melepaskan peluang untuk mengembangkan sukan teqball yang diasaskan oleh negara itu sejak tahun 2014, dengan mempelajari secara lebih mendalam mengenai sukan itu.
Terdahulu, sesi lawatan itu turut menyaksikan MPM yang diwakili Setiausaha Agung Datuk Subramaniam Raman membentangkan latar belakang majlis berkenaan, selain Ponevacs-Pana turut memperkenalkan kejayaan yang dikecapi Hungary sejak tahun 1972.