MADRID, 23 Mei - Luka Modric bakal menamatkan karier gemilangnya bersama kelab itu selepas berakhirnya kempen Piala Dunia Kelab bulan depan.
Pemain tengah Croatia itu meninggalkan legasi luar biasa selepas lebih satu dekad menyarung jersi Los Blancos menjadikannya pemain paling berjaya dalam sejarah kelab dengan koleksi hampir 30 trofi utama termasuk memenangi Liga Juara-Juara sebanyak enam kali, Copa del Rey dua kali dan empat kejuaraan La Liga.
Modric, 39 tahun, menyertai Real Madrid dari Tottenham Hotspur pada tahun 2012 dan telah membuat hampir 600 penampilan untuk kelab Sepanyol itu.
Perlawanan terakhirnya di Stadium Santiago Bernabéu dijangka berlangsung pada Sabtu ini ketika Real Madrid menentang Real Sociedad dalam aksi penutup musim LaLiga 2024/25.
Pemain veteran itu kemudian akan menamatkan tugasnya secara rasmi selepas Piala Dunia Kelab yang akan bermula bulan hadapan.
Sepanjang kariernya bersama Real Madrid, Modric dikenang sebagai pemain berkelas dunia yang turut memenangi Ballon d'Or 2018, hasil prestasi cemerlangnya membawa Croatia ke final Piala Dunia FIFA 2018 dan dominasi bersama Real di pentas Eropah.
Pengunduran Modric menandakan berakhirnya satu era penting dalam sejarah moden Real Madrid, dengan peminat dijangka memberikan penghormatan istimewa dalam aksi terakhirnya di Bernabéu hujung minggu ini. - REUTERS