KUALA LUMPUR, 24 Mei - Harapan beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah, untuk mara ke pentas final Malaysia Masters 2025 tidak kesampaian selepas tewas kepada pasangan China, Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian, dalam pertarungan tiga set yang penuh dramatik.
Pasangan pilihan keempat kejohanan itu tewas 16-21, bangkit di set kedua dengan 21-15, namun gagal mengekalkan momentum apabila tunduk 14-21 di set penentuan kepada beregu ranking ke-15 dunia itu.
Walaupun mempamerkan semangat juang tinggi, kekalahan ini menamatkan kemaraan Pearly-Thinaah di separuh akhir dan menangguhkan impian mereka untuk bergelar juara di laman sendiri yang sebelum ini mencipta momentum positif selepas muncul juara di Terbuka Thailand.