fb fb fb fb fb

Wei Chong-Kai Wun juara Badminton Masters Malaysia 2025

Gandingan ketujuh dunia itu menumbangkan bekas juara dunia 2022, Aaron Chia-Soh Wooi Yik pada aksi akhir di Axiata Arena-Foto BAM

KUALA LUMPUR, 25 Mei - Beregu badminton negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun cipta kejutan apabila berjaya menumbangkan bekas juara dunia 2022, Aaron Chia-Soh Wooi Yik pada aksi akhir Kejohanan Badminton Masters Malaysia.

Pada perlawanan yang berlangsung di Axiata Arena itu, Wei Chong- Kai Wun mengungguli set pertama 21-12, sebelum tewas 15-21 pada set kedua.

Gandingan ketujuh dunia itu kemudiannya bangkit pada set ketiga menerusi kemenangan 21-16 dalam tempoh 50 minit.

Kejayaan tersebut sekali gus menamatkan penantian selama 12 tahun negara dalam acara beregu lelaki selepas kali terakhir ia dimenangi pasangan Goh V Shem- Lim Khim Wah.

Lebih membanggakan, ia merupakan kejayaan kedua berturut-turut buat Wei Chong-Kai Wun selepas memenangi kejuaraan badminton Indonesia Masters Januari lalu.

Dalam perseorangan lelaki, pemain China Li Shi Feng menewaskan Srikanth Kidambi dari India 21-11 dan 21-9.

Manakala perseorangan wanita dimenangi Wang Zhi Yi juga dari China yang mengatasi rakan senegara Han Yue 13-21, 21-13 dan 21-18.

Aksi beregu campuran turut dimenangi wakil China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping.

Diikuti kemenangan satu lagi gandingan China Liu Sheng Shu-Tan Ning dalam acara beregu wanita yang menewaskan rakan senegara, Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian 21-17 dan 21-18.

 

JALALUDDIN BIN BAHARIN