KUALA LUMPUR, 25 Mei - Menjelang aksi Maybank Challenge Cup menentang Manchester United di Stadium Nasional, Bukit Jalil Rabu ini.
Pemain naturalisasi Harimau Malaya Sergio Aguero mengakui teruja apabila terpilih membarisi skuad ASEAN All-Stars.
Penyerang Sri Pahang FC itu menyifatkan penyertaannya sebagai pencapaian besar yang membanggakan.
“Ini satu penghormatan yang luar biasa dipilih bagi perlawanan bersejarah seperti ini. Beraksi menentang satu daripada kelab terbesar dunia bersama beberapa pemain terbaik rantau ini, benar-benar satu impian yang menjadi kenyataan.
“Apa yang menjadikan ia lebih istimewa adalah peluang mewakili Malaysia di pentas ini. Mengibarkan bendera di hadapan penyokong tempatan adalah segalanya buat saya,” kata pemain kelahiran Argentina berusia 31 tahun itu dalam satu kenyataan.
Selain Aguero, empat lagi pemain kebangsaan yang terpilih ialah pemain pertahanan Terengganu FC Muhammad Azam Azmi Murad, pemain sayap Penang FC Muhammad Adib Abdul Ra’op, penjaga gol Perak FC Muhammad Haziq Nazdli dan pemain pertahanan Kuala Lumpur City FC Declan Lambert.
Kali terakhir The Red Devils beraksi di Malaysia ialah semasa jelajah pramusim pada 2009.
Juara Liga Perdana Inggeris sebanyak 13 kali itu juga akan ke Hong Kong sebagai sebahagian daripada jelajah pramusim mereka.