ALOR SETAR, 25 Mei - Pemilik majoriti Kedah Darul Aman (KDA FC) Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar memohon maaf secara terbuka kepada semua pihak yang terkait dengan pasukan itu selepas gagal memperoleh Lesen Kebangsaan bagi musim 2025-2026.
Sebagai pemilik majoriti, beliau bersedia memikul tanggungjawab sepenuhnya.
Pada masa sama menganggap situasi yang berlaku itu sebagai pengajaran penting untuk menilai semula struktur dan pendekatan keseluruhan kelab.
Perkara itu dimaklumkan dalam satu kenyataan yang disiarkan dalam laman Facebook rasmi KDA FC.
"Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memohon maaf secara terbuka kepada seluruh penyokong, penaja, pemain dan kakitangan kelab yang terkesan dengan berita ini. Sebagai pemilik majoriti, saya mengambil tanggungjawab terhadap kekurangan yang berlaku dan menganggap perkara ini sebagai pengajaran penting untuk menilai semula struktur dan pendekatan keseluruhan kelab.
"Kami juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak MFL atas segala kerjasama dan pertimbangan yang telah diberikan sepanjang proses pelesenan ini.
"Pihak KDAFC mengambil maklum di atas tunggakkan yang masih belum dijelaskan dan akan dimuktamadkan kaedah penyelesaiannya selepas sesi perjumpaan bersama semua pihak yang terkesan," menurut kenyataan tersebut.
Katanya, KDA FC juga sedang mempertimbang beberapa pilihan lain bagi memastikan kelab terus kekal relevan dan terlibat secara aktif dalam landskap bola sepak negara.
Ini termasuk penyertaan di platform lain yang bersesuaian dengan hala tuju pemulihan dan pembangunan semula kelab.
"Kami percaya, jatuh bukan pengakhiran, tetapi peluang untuk memperbaiki dan membina semula asas yang lebih kukuh. Kami menganggap tempoh ini sebagai fasa ‘hibernasi Sang Kenari’,satu masa untuk memperbaiki diri, memperkukuh asas, dan bersiap sedia untuk kembali dengan lebih baik dan tersusun.
Penyokong akan terus menjadi nadi penting dalam perjalanan ini. Terima kasih kepada semua yang tetap berdiri bersama kami, walau dalam waktu paling sukar ini. Semoga satu hari nanti, kita akan kembali, lebih stabil, lebih kuat," katanya.
Khamis lalu, Pengerusi First Instance Body (FIB), Pelesenan Kelab MFL, Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif mengesahkan KDA FC dan Perak FC tidak akan beraksi dalam saingan Liga Super musim akan datang.
Kegagalan itu berpunca daripada aspek pematuhan kewangan yang tidak dapat diselesaikan dalam tempoh yang telah ditetapkan.