fb fb fb fb fb

Sunderland kembali ke Liga Perdana Inggeris selepas 8 tahun

Para pemain Sunderland meraikan kejayaan mara ke Liga Perdana Inggeris musim depan / Foto REUTERS

LONDON, 24 Mei– Sunderland mencipta kebangkitan luar biasa untuk menewaskan Sheffield United 2-1 dalam perlawanan akhir playoff Liga kejuaraan di Wembley pada Sabtu, dengan pemain gantian Tom Watson menjaringkan gol kemenangan pada masa kecederaan, sekali gus membolehkan pasukan tersebut kembali ke Liga Perdana Inggeris musim depan.

Pemain remaja itu melakukan penyudah rendah yang cantik dari luar kotak penalti untuk menamatkan penantian lapan musim Sunderland di luar Liga Perdana Inggeris termasuk bermain di divisyen ketiga.

Apa yang lebih luar biasa, jaringan itu adalah sumbangan terakhir Watson untuk kelab zaman kanak-kanaknya sebelum berhijrah ke Brighton & Hove Albion – satu perpisahan yang sungguh bermakna.

"Ia tidak dapat dipercayai, kita akan berjumpa lagi di Liga Perdana musim depan," kata Watson.

"Saya sudah membayangkannya selama berminggu-minggu dan seolah-olah takdir tertulis ketika saya dimasukkan sebagai pemain gantian."

Kemenangan tersebut bermakna Sunderland bakal menerima sekitar £220 juta atau (RM1.4 bilion) dalam bentuk pendapatan tambahan hasil daripada perjanjian hak penyiaran Liga Perdana yang sangat menguntungkan.

Bagi Sheffield United pula, kekalahan itu satu kekecewaan besar kerana mereka menguasai sebahagian besar permainan.

Pada perlawanan berkenaan segalanya tampak sukar buat pasukan muda Sunderland yang dibimbing jurulatih Perancis Regis Le Bris apabila mereka ketinggalan hasil gol balas pantas minit ke-25 oleh Tyrese Campbell dalam separuh masa pertama.

Penyudah tenang Campbell hasil hantaran tepat daripada Gus Hamer memberikan ganjaran kepada Sheffield yang bermula garang apabila mereka hampir membuka jaringan seawal permainan apabila tandukan Kieffer Moore diselamatkan cemerlang oleh Anthony Patterson.

Sunderland turut kehilangan pertahanan Luke O'Nien akibat terkehel bahu dan bernasib baik apabila jaringan Harrison Burrows dibatalkan selepas semakan VAR mendapati berlaku offside.

Sheffield yang dibimbing Chris Wilder dan berhasrat untuk kembali ke Liga Perdana dalam tempoh singkat terus mengawal permainan selepas rehat.

Namun mereka dikejutkan pada minit ke-76 apabila Eliezer Mayenda merembat masuk gol penyamaan yang menakjubkan.

Ketika perlawanan seolah-olah akan berlanjutan ke masa tambahan atau penentuan sepakan penalti apabila Moore melakukan kesilapan besar dengan kehilangan bola.

Watson mengambil kesempatan dan menjaringkan gol kemenang

Ia melengkapkan kempen playoff yang menakjubkan buat Sunderland, yang menamatkan lima perlawanan terakhir musim biasa dengan kekalahan dan hanya berjaya mara ke perlawanan akhir selepas menewaskan Coventry City di separuh akhir melalui jaringan saat akhir oleh Dan Ballard.-REUTERS.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD