ENGLAND, 26 Mei – Marco Bezzecchi mencipta sensasi apabila memenangi perlumbaan penuh drama di Grand Prix (GP) Britain, sekali gus menghadiahkan kemenangan pertama musim ini kepada Aprilia dalam saingan MotoGP.
Perlumbaan bermula dalam keadaan huru-hara susulan insiden tumpahan minyak yang turut menyebabkan pelumba adik-beradik Marc Marquez dan Alex Marquez terjatuh ketika menguasai dua kedudukan hadapan.
Insiden memaksa perlumbaan di litar Silverstone dihentikan seketika.
Sebaik saingan disambung semula, pelumba pasukan Monster Energy Yamaha, Fabio Quartararo yang mendahului terpaksa menarik diri akibat masalah mekanikal, sekali gus membuka ruang kepada Bezzecchi untuk memintas dan mengekalkan kedudukan pendahulu hingga ke garisan penamat.
Ini adalah kemenangan pertamanya sejak GP India 2023.
Johann Zarco dari LCR Honda menamatkan saingan di tempat kedua, manakala Marc Marquez memenangi perebutan tempat ketiga selepas mengatasi saingan sengit pelumba pasukan VR46 Racing Team, Franco Morbidelli.
Kedudukan teratas pelumba masih kekal dikuasai Marc Marquez yang memungut 196 mata, 24 mata di depan Alex Marquez.
Dalam kategori Moto2, pelumba Australia, Senna Agius muncul juara, diikuti Diogo Moreira dari Brazil dan David Alonso di tempat ketiga.
Moto3 pula menyaksikan Jose Antonio Rueda dari Sepanyol menjuarai perlumbaan 15 pusingan itu, meninggalkan Maximo Quiles dan Luca Lunetta yang melengkapkan kedudukan podium.