MADRID, 25 Mei – Bekas pemain tengah Real Madrid, Xabi Alonso secara rasmi dilantik sebagai pengurus baharu pasukan.
Pengendali berusia 43 tahun itu menandatangani kontrak selama tiga tahun sehingga Jun 2028, menggantikan Carlo Ancelotti yang mengendalikan perlawanan terakhirnya bersama Los Blancos pada Sabtu lalu.
Pelantikan itu menyaksikan Alonso kembali ke Santiago Bernabeu, gelanggang yang pernah menyaksikan kegemilangannya selama enam musim sebagai pemain, dengan deretan kejuaraan termasuk LaLiga dan Liga Juara Eropah.
Alonso sebelum ini mengemudi Bayer Leverkusen sejak Oktober 2022 dan berjaya membawa kelab Jerman itu menjuarai Bundesliga dengan rekod tanpa kalah dan mara ke final Liga Europa pada musim 2023/24.
Walaupun masih mempunyai kontrak bersama Leverkusen sehingga 2026, kelab itu bersetuju melepaskannya atas permintaan peribadi untuk menamatkan kontrak lebih awal.
Real Madrid turut memaklumkan bahawa Alonso akan diperkenalkan secara rasmi sebagai ketua jurulatih baharu pada Isnin, dan bakal memimpin skuad utama menghadapi kejohanan Piala Dunia Kelab yang akan berlangsung di Amerika Syarikat bulan depan.