fb fb fb fb fb

War Zon Championship tidak dapat kelulusan rasmi

Foto Facebook KBSMalaysia

KUALA LUMPUR, 2 November - Kejohanan sukan tempur, War Zone Championship yang dijadual berlangsung Disember ini belum mendapat kelulusan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Menurut kenyataan rasmi KBS, sebarang penganjuran acara sukan, khususnya yang melibatkan penyertaan antarabangsa, wajib mendapatkan kelulusan daripada Pesuruhjaya Sukan Malaysia.

Ini selaras dengan peruntukan di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997 [Akta 576].

Kementerian turut menasihatkan semua pihak agar mematuhi peraturan sedia ada bagi menjamin integriti dan keselamatan penganjuran sukan di negara ini.

KBS dalam kenyataannya turut mengingatkan bahawa, sebarang penganjuran acara sukan antarabangsa tanpa kelulusan boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 36, Akta 576.

Terdahulu, tular video sidang media War Zone Championship yang memaparkan dua kanak-kanak dipercayai peserta kejohanan itu bergaduh ketika sesi pengenalan.

Insiden berkenaan mengundang reaksi negatif pengguna media sosial yang menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan lanjut berhubung penganjuran kejohanan berkenaan.

 

MARDHIYAH MOHAMMED ZIN