SEREMBAN, 2 November - Atlet karate orang pekak negara, Yilamaran Vispalinggam, optimis mampu meraih pingat pada temasya Deaflympics Tokyo 2025, berbekalkan pengalaman dan kejayaan terdahulu meraih pingat perak di edisi Brazil 2022.
Menurut Yilamaran, penglibatannya dalam kejohanan melibatkan atlet normal sebelum ini memberi banyak kelebihan, terutama dari segi pengalaman dan kematangan dalam gelanggang.
"Saya banyak belajar daripada kelemahan atlet luar negara dan pengalaman bertanding dengan atlet normal.
"Itu membantu saya perbaiki prestasi dan akhirnya menang perak di Brazil," katanya ketika ditemui semasa sesi latihan di sini.
Beliau turut mengakui cabaran komunikasi antara dirinya dan jurulatih sebelum ini menjadi berjaya diatasi melalui penggunaan bahasa isyarat.
"Dulu agak tertekan sebab berlaku salah faham masa latihan, tapi bila saya ajar coach bahasa isyarat, kami jadi lebih faham antara satu sama lain," katanya.
Yilamaran yang akan beraksi dalam kategori -84kg pada edisi ke-25 Deaflympics itu turut ditemani tiga rakan sepasukan, iaitu Muhammad Afiq Mohd Taib (-60kg), Muhammad Danial Moharam (-75kg) dan Muhammad Iqbal Mohd Taib (-67kg), yang akan membawa cabaran skuad karate orang pekak negara.
Pasukan tersebut dijadual berlepas ke Tokyo dua minggu lebih awal bagi menjalani latihan fasa akhir sebagai persiapan menghadapi kejohanan terbesar komuniti pekak dunia itu.
Deaflympics Tokyo 2025 akan berlangsung dari 15 hingga 26 November 2025 di Tokyo, Jepun.