fb fb fb fb fb

Ironman Langkawi: Ketua Polis KL cipta sejarah

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus /Facebook POLISKL

KUALA LUMPUR, 2 November - Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus mencipta sejarah apabila menjadi satu-satunya Ketua Polis negeri yang menyertai kejohanan sukan lasak IRONMAN Malaysia dan IRONMAN 70.3 Langkawi 2025 yang berlangsung di Pulau Langkawi, pada Sabtu (semalam).

Menurut Datuk Fadil, penyertaan dalam kejohanan berprestij itu bukan sekadar menguji ketahanan fizikal, tetapi juga mencerminkan nilai disiplin dan kekuatan mental yang menjadi tunjang kepada setiap anggota polis.

"IRONMAN ialah satu program yang sangat berdisiplin dan menyeluruh. Ia bukan sekadar acara sukan, tetapi satu rutin kehidupan yang menuntut komitmen tinggi terhadap kecergasan sesuatu yang amat sinonim dengan PDRM,"katanya yang ditemui selepas menamatkan saingan sukan lasak IRONMAN Malaysia dan IRONMAN 70.3 Langkawi 2025 di Pulau Langkawi.

Beliau turut melahirkan rasa syukur apabila semua 18 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mengambil bahagian berjaya menamatkan saingan dengan cemerlang.

Sementara itu Kontinjen Polis Kuala Lumpur dalam kenyataan di Facebook memaklumkan penyertaan Datuk Fadil yang dikenali sebagai ‘Blade’ mencerminkan semangat juang serta tahap kecergasan tinggi warga pasukan keselamatan dalam menghadapi cabaran ekstrem.

Pasukan PDRM turut cemerlang apabila meraih tempat kedua kategori Relay, manakala Koperal Muhammad Luqmanul Hakim Hamidi menamatkan saingan kategori IRONMAN 70.3 di tempat ketiga.

PDRM dalam kenyataannya turut merakam ucapan tahniah dan syabas kepada semua pegawai serta anggota yang menyertai kejohanan berprestij itu, sambil berharap penyertaan mereka menjadi suntikan inspirasi kepada warga pasukan lain untuk terus mengamalkan gaya hidup sihat serta memperkukuh imej positif PDRM di mata masyarakat.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD