KUALA LUMPUR, 3 November - Pasukan Malaysia Speedy membuka kempen Kejohanan Hoki Piala Mirnawan 2025 dengan langkah kanan apabila membenam Malaysia Tigers 5-1 dalam aksi pembukaan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, malam tadi..
Skuad bimbingan Mohd Nor Aqmal Abdul Ghaffar itu mempamerkan corak permainan mantap dan tersusun, sekali gus mendominasi hampir keseluruhan perlawanan.
Menurut Mohd Nor Aqmal, beliau berpuas hati dengan prestasi pemain pada perlawanan pertama itu, namun masih ada beberapa aspek yang perlu diperbaiki menjelang aksi seterusnya.
“Untuk game pertama malam ini, pemain menunjukkan persembahan yang cukup baik, terutama dalam memanfaatkan peluang awal hingga berjaya menjaringkan gol.
“Cuma pada penghujung perlawanan ada pemain yang menerima kad, perkara itu tidak sepatutnya berlaku pada perlawanan awal seperti ini. Harapnya kita dapat perbaiki aspek kehilangan bola selepas ini,” katanya.
Aksi cemerlang Muhammad Safwan menjadi tumpuan apabila beliau meledak hatrik pada minit ke-15, 30 dan 38 bagi meletakkan Malaysia Speedy selesa di depan.
Malaysia Tigers bagaimanapun berjaya merapatkan jurang empat minit kemudian menerusi jaringan padang oleh Muhammad Hisyammudin, namun kebangkitan itu tidak bertahan lama.
Malaysia Speedy kembali memperkemaskan rentak dan menggandakan asakan sebelum menambah dua lagi jaringan menerusi Mohamad Syazwan dan Ariq Aidil Hakimi, sekali gus mengesahkan kemenangan bergaya 5-1.
Dalam aksi seterusnya, Malaysia Speedy bakal berdepan Jepun, manakala Malaysia Tigers dijadual bertemu Afrika Selatan.
Mohd Nor Aqmal Abdul Ghaffar