fb fb fb fb fb

Imigresen FC tamat kemarau, rai kemenangan pertama musim ini

FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 3 November - Imigresen FC akhirnya menamatkan penantian panjang apabila meraih kemenangan pertama musim ini selepas menundukkan Penang FC 1-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Bandaraya, malam tadi.

Kemenangan penuh bermakna itu menghadiahkan tiga mata pertama buat skuad The Mighty Tigers selepas lapan perlawanan tanpa sebarang kemenangan, sekali gus memberi nafas baharu kepada pasukan kendalian Yusry Che Lah untuk kembali bersaing dalam saingan liga.

Aksi babak pertama berlangsung rancak dengan kedua-dua pasukan saling melancarkan serangan berbahaya, namun keputusan kekal tanpa jaringan sehingga tamat separuh masa pertama.

Memasuki babak kedua, Imigresen FC menggandakan asakan dan usaha mereka akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-59 menerusi sentuhan penyerang import, Wilmar Jordan Gil, yang tenang menolak masuk bola hantaran Mohd Fadzrul Danel Mohd Nizam bagi memecah kebuntuan.

Penang FC cuba bangkit mencari gol penyamaan, namun dikecewakan apabila jaringan Stefano Brundo pada minit ke-72 dibatalkan selepas Video Bantuan Pengadil (VAR) mengesahkan beliau berada dalam kedudukan ofsaid.

Kedudukan 1-0 kekal sehingga wisel penamat, sekali gus menyaksikan Imigresen FC mengutip kemenangan pertama mereka dalam kempen Liga Super musim ini.

Kejayaan itu dilihat sebagai suntikan moral penting buat pasukan yang masih mencari rentak selepas permulaan musim yang mencabar.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE