KUALA LUMPUR, 30 Julai - Jaguh larian menara negara, Soh Wai Ching, bertekad untuk 'menakluk' 2,845 anak tangga Menara Merdeka 118 dalam tempoh kurang daripada 16 minit pada edisi pertama The Sky Race yang akan berlangsung pada 30 Ogos ini.
Wai Ching, 30, menjelaskan perlumbaan itu bukan soal menewaskan orang lain atau meraih kemenangan, tetapi merupakan cabaran peribadi kerana setiap peserta bermula secara individu.

Wai Ching, yakin ada kelebihan di laman sendiri
"Saya sasar untuk habiskan dalam masa kurang 16 minit dan kalau berjaya saya tidak kisah menang atau kalahkerana sudah capai sasaran.
"Sukan ini adalah catatan masa, bukan tentang strategi berlumba bersama. Kalau mula serentak, kita boleh guna strategi siapa laju, siapa lambat, itu asas.
"Tetapi dalam perlumbaan ini, kita langsung tidak tahu fasa atau tahap peserta lain sebab semuanya berasingan," katanya selepas Majlis Pelancaran Rasmi The Sky Race di sini, hari ini.
Beliau juga akan memanfaatkan kelebihan di tempat sendiri kerana berpeluang menjalani latihan di menara kedua tertinggi dunia itu.
"Saya yakin kerana kita ada lebih kurang sebulan lagi sebelum acara ini, dan saya juga diberi peluang untuk berlatih di bangunan ini, yang mana peserta lain tidak dapat.
"Jadi, boleh dikatakan saya ada kelebihan di laman sendiri kerana saya sudah membiasakan diri dengan tangga ini. Bagaimanapun apa sahaja boleh berlaku pada hari perlumbaan," katanya.
Selepas Sky Race Merdeka 118, Wai Ching akan fokus menawan Menara Shanghai di China
Kejohanan Sky Race Merdeka 118 dijangka menyaksikan saingan sengit buat Wai Ching, dengan kehadiran pelari elit dunia seperti Ryoji Watanabe dari Jepun.
Setakat ini, lebih 4,000 peserta telah mengesahkan penyertaan untuk kejohanan edisi sulung ini.
Sementara itu, Wai Ching berkata, selepas Menara Merdeka 118, beliau akan fokus untuk menawan Menara Shanghai di China pula pada November nanti.
Bangunan ketiga tertinggi dunia itu antara acara penting dalam kalendar larian menara global.
Menurutnya, kejayaan di Shanghai bakal membuka peluang terbaik untuk merampas semula kedudukan nombor satu dunia, yang kini dipegang oleh Ryoji Watanabe.