KUALA LUMPUR, 30 Julai - Selangor FC menegaskan prestasi kurang memberangsangkan sepanjang siri perlawanan pra-musim tidak boleh dijadikan ukuran sebenar kemampuan skuad Gergasi Merah itu menjelang saingan Liga Super 2025 yang bakal bermula tidak lama lagi.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon, persiapan pasukan kali ini banyak terjejas apabila beberapa pemain import masih belum sempat menyertai latihan penuh, selain beberapa tonggak utama mengalami kecederaan dan masalah kesihatan.
“Pra-musim kali ini memang mencabar kerana pasukan tidak dapat turun dengan skuad penuh. Namun, jurulatih memanfaatkan tempoh ini untuk memberi peluang sama rata kepada semua pemain, termasuk enam hingga tujuh pemain muda yang dibawa naik daripada skuad Selangor 2.
Beliau mahu melihat potensi mereka sebelum memutuskan kesebelasan utama.
Langkah berani ketua jurulatih, Katsuhito Kinoshi memberi pendedahan awal kepada pemain muda ini dianggap satu risiko besar memandangkan Selangor bakal beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara AFC dan ACL musim ini.
Bagaimanapun, pengurusan menghormati pendekatan tersebut dan yakin ia mampu melahirkan lebih banyak bakat berkualiti untuk jangka masa panjang.
“Kita percaya dengan perancangannya. Tidak ramai jurulatih yang sanggup memberi peluang kepada pemain muda dalam suasana kompetitif seperti ini. Beliau yakin dapat membentuk kesebelasan terbaik apabila semua pemain kembali cergas dan bersedia,” katanya selepas Majlis Menandatangani Kerjasama antara SFC dan Provident Fiduciaries Berhad (PFB) di Exchange 106, Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan sasaran yang telah ditetapkan untuk musim ini, termasuk berada dalam kelompok dua teratas Liga Super, mara ke akhir Piala Malaysia, serta layak ke pusingan kalah mati bagi kejohanan Piala AFC dan ACL.